Siapa Watak ‘Raja Mandeliar, Si Kitol’ Dalam Isu Saman DOJ?

Melaka ditakluk PortugisDalam sejarah kejatuhan Melaka pada 1511 ke tangan penjajah Portugis, wujud beberapa watak pembelot dan pengkhianat dalam negeri yang menyumbang kepada kejatuhan tersebut.

Pengkhianat tersebut antaranya Raja Mandeliar, Si Kitol, Laksamana Khoja Hassan dan Utimutiraja.

Raja Mandeliar dengan bantuan Laksamana Khoja Hassan berperanan menyebarkan fitnah hingga berlaku konflik dalaman antara Sultan Melaka dengan Bendahara.

Si Kitol pula selain menyemarakkan fitnah kebencian tersebut turut berkongsi maklumat rahsia dan membuka ‘pintu belakang’ untuk kemasukan penjajah Portugis bagi mempermudahkan bala tentera Portugis menembusi pertahanan Melaka.

Utimutiraja, pedagang Jawa yang meraih kekayaan hasil dagangan di Melaka pula mengerah lebih 5 ribu hambanya menyertai tentera penjajah Portugis untuk mengalahkan barisan pertahanan Melaka.

Hari ini sejarah hitam penghianatan lebih lima abad lalu itu nampak seperti wujud kembali di Malaysia semacam mahu mengulangi sejarah kelam Melaka. Kita baca dan perhati, jelas gerak kerjanya hampir serupa, bermula dengan fitnah dan adu domba kini bersekutu dengan lawan dan terbaru mendapatkan bantuan kuasa asing untuk campur menekan kepimpinan negara.

Watak-watak yang dulunya menonjolkan sisi patriotik demi tanahair kini kerana kepentingan diri telah berubah watak menjadi Raja Mandeliar, Laksamana Khoja Hassan, Si Kitol dan Utimutiraja.

Mereka ini memulakan gerakan dengan menyebarkan fitnah dan adu domba untuk semarakkan kebencian kepada pimpinan negara, cuba mempengaruhi pegawai tinggi kerajaan untuk menentang kepimpinan, mereka juga mula bekerjasama dengan pembangkang yang dulunya mereka kecam dan hentam dan mereka turut menjelajah ke negara lain supaya campur tangan urusan Malaysia.

Media asing yang dulunya dimusuhi mereka kini jadi sahabat baik dan isi beritanya diratib siang malam sebagai azimat untuk memburukkan negara sendiri, Amerika Syarikat yang dulunya dibenci dihentam kerana polisi gilanya mahu menjadi Polis Dunia kini jadi sandaran untuk menekan kepimpinan Malaysia.

Kini mereka gembira Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) dan FBI mula campur tangan dengan bersandarkan aduan dan maklumat yang disediakan mereka sendiri, diputar dipusing cerita mencipta persepsi konon saman tersebut bukti pengesahan kesalahan sedangkan penyiasatan hakiki belum ketemu bukti jelas untuk mengesahkan tuduhan.

Soalnya sekarang, siapa dia Raja Mandeliar, Laksamana Khoja Hassan, Si Kitol dan Utimutiraja versi millenium ini yang sedang berusaha keras bekerjasama dengan kuasa asing sekarang ini? Lupakah mereka sejarah Melaka? – XPressMinda

 

UMNO Tahu Ada ‘Si Kitol’ Disebalik Saman DOJ

KUALA LUMPUR: UMNO yakin wujud watak ‘Si Kitol’ yang telah membuka pintu kepada pihak luar untuk menjatuhkan kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membabitkan saman sivil yang dikemukakan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) berkaitan skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, barisan kepimpinan UMNO akan terus kekal bersatu di bawah kepimpinan Najib dan tidak akan membiarkan pihak luar menentukan masa depan rakyat dan negara ini.

“Dalam keadaan politik hari ini kita tahu telah wujudnya watak Si Kitol yang telah membuka pintu untuk pihak luar mencampuri urusan dalam negara kita dan UMNO akan memastikan bahawa sebarang konspirasi yang melibatkan tuduhan dan dakwaan terhadap Perdana Menteri tidak akan berjaya.

“Kita juga berkeyakinan bahawa kerajaan akan menangani isu 1MDB ini dengan penuh tanggungjawab dan bijaksana serta menurut undang-undang yang sedia ada. Bahkan kita mengalu-alukan kenyataan PM bahawa kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang menjunjung konsep Good Governance(urus tadbir baik) dalam segala urusan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kata Annuar, tindakan tersebut adalah jelas untuk memperlihatkan kononnya UMNO kini berada dalam keadaan tertekan dan bergolak.

Lantaran itu jelasnya, ia hanyalah permainan minda pihak lawan untuk mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat dan juga ahli UMNO itu sendiri.

“Percubaan pihak tertentu yang cuba mereka-reka cerita kononnya UMNO dalam keadaan tertekan, panik dan berpecah adalah satu percubaan mind game untuk memperlihatkan ahli dan kepimpinan UMNO dalam keadaan buntu atau tenggelam punca.

“Namun gambaran tersebut langsung tidak benar dan insyaAllah situasi seperti itu tidak akan berlaku di dalam UMNO kerana boleh dikatakan semua pemimpin dan ahli UMNO memahami apa dan siapa di belakang tabir dalam isu yang cuba dikaitkan dengan UMNO dan kepimpinannya baik di dalam mahupun di luar negara,” jelasnya.

Malah tambah Annuar, kerajaan memandang serius dakwaan DOJ dan berpendirian untuk bekerjasama dengan semua pihak dan autoriti yang sah agar penyiasatan dapat dijalankan segera serta proses Mahkamah dapat berjalan dengan adil dan menurut undang-undang yang termaktub di dalam negara.

“Begitu juga dengan dakwaan yang mengatakan bahawa kerajaan UMNO dan BN tidak memandang serius tindakan DOJ ini juga adalah tidak benar sama sekali dan kerajaan sedang meneliti perkara ini dengan secara terperinci.

“Sudah tentu proses penyiasatan dalam hal ini akan memakan masa dan kita tidak memerlukan individu atau kumpulan yang bersikap prejudis dan menyebarkan spekulasi tidak benar dalam menyelesaikan isu tersebut.

“Kerajaan memahami isu ini perlu ditangani penuh berhati-hati menurut proses undang-undang kerana wujudnya pihak tertentu  yang  dilihat bersungguh-sungguh mahu menjadikan isu ini berlaku mengikut grand design mereka yg mempunyai tujuan merebut kuasa dan mencari keuntungan politik,” katanya. – kredit kpd mD

Leave a comment