Tiga Kali Jatuh Lubang Sama, Nik Aziz Sudah Lupakah?

Sehari dua sebelum PRK DUN Pengkalan Kubor baru-baru ini, Mursyidul Am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam salah satu kempen ceramahnya berkata antara sebab kerjasama dengan UMNO ditolak adalah bagi mengelakkan PAS jatuh dua kali dalam lubang yang sama.

Kata Nik Aziz, cukuplah kerjasama PAS dan UMNO pada pertengahan tahun 1970-an dulu waktu sama-sama membentuk dan merintis kepada penubuhan Barisan Nasional (BN) sebagai iktibar, yang mana kemudiannya berakhir dengan tindakan BN menendang PAS keluar dari gabungan tersebut.

Sudah tentulah Nik Aziz tidak akan menceritakan sebab sebenar PAS ditendang keluar berpunca dari tindakan pimpinan PAS tika itu yang menikam belakang UMNO dengan mencuri ahli UMNO serta cuba menggugat pengaruh UMNO di kawasan FELDA.

Dek kerana tindakan tikam belakang UMNO itulah menyebabkan timbul kerisauan di kalangan pimpinan dan penyokong UMNO perihal kemungkinan kelak PAS akan semakin berani mengkhianati kerjasama itu dan akhirnya UMNO pula yang menanggung akibatnya.

Dan tentu sahaja Nik Aziz sama sekali tidak mungkin berkongsi cerita tindakan PAS yang membelakangi BN apabila mengusulkan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Kelantan dari PAS iaitu Datuk Muhamed bin Nasir (Mat Nasir) yang dianggap terlalu mesra UMNO dan tidak sekepala dengan Presiden PAS, Datuk Asri Muda.

Malah pasti sahaja Nik Aziz tidak akan mendedahkan tatkala PAS dan UMNO elok bersatu dalam BN dulu tiba-tiba disebabkan kepentingan politik sendiri PAS telah mengusulkan undi tidak percaya terhadap MB UMNO di Negeri Kedah yang kesannya mengakibatkan hubungan UMNO dengan PAS retak dan bercelaru.

Itu belum termasuk lagi tindakan Menteri Tanah dari PAS yang dipegang sendiri oleh Presiden PAS (dulu dikenali sebagai Yang Dipertua PAS) yang sibuk mengatur dan memindahkan penyokong PAS dari Kelantan untuk menjadi peneroka di kawasan-kawasan FELDA yang menjadi kubu kuat UMNO.

Kesan peristiwa-peristiwa yang berlaku itulah menyebabkan BN berkocak sakan maka jalan terbaik adalah mengambil mudarat yang kecil untuk mengelakkan mudarat yang besar, lantas keputusan yang berat menendang PAS keluar dari BN terpaksa diambil untuk kepentingan rakyat keseluruhannya.

Itu kisah sebenarnya yang menjadi punca utama PAS ditendang keluar dari BN dan akhirnya membawa kepada kewujudan Barisan Jemaah Ismaiah Se-Malaysia (BERJASA) yang diketuai Mat Nasir. Hasil kerjasama BN dengan BERJASA, maka tamatlah riwayat pusingan pertama pemerintahan PAS di Kelantan pada PRN 1978.

Bertitik tolak dari pengalaman pahit itulah sampai sekarang Nik Aziz cukup pantang bila terdengar ura-ura kemungkinan PAS dan UMNO bergabung semula. Pantang bagi Nik Aziz melihat ianya berlaku, justeru itu asal sahaja berkesempatan akan diulang-ulang cerita kononnya dulu PAS dikhianati UMNO.

Bagi Nik Aziz perit kesakitan terjebak dan jatuh lubang walaupun bukan disebabkan UMNO sebaliknya akibat sikap khianat pemimpin PAS sendiri, namun yang sentiasa dikenang dalam ingatan hanya hukuman yang diterima. Soal salah silap sendiri dilupakan semacam langsung tiada sezarah pun kesilapan dan kesalahan yang dibuatnya.

Jika pengalaman pahit itu puncanya PAS sudah tidak sanggup bekerjasama dengan UMNO, andai itu sebabnya Nik Aziz beranggapan kerjasama politik dengan UMNO demi kepentingan agama Islam dan umatnya hanya akan menyebabkan PAS menderita jatuh lubang, maka tiada siapa yang boleh memaksa Nik Aziz mahupun PAS untuk merealisasikannya.

Tapi satu hakikat yang perlu Nik Aziz dan PAS sedari, pasca PRU-12 2008 yang begitu sibuk nak menggerakkan idea Kerajaan Perpaduan antara UMNO/BN dan PAS atas nama kepentingan politik umat Islam, datangnya dari Presiden PAS sendiri.

Hatta sekarang disebalik kekalutan politik PR pun, bukannya UMNO yang terhegeh-hegeh mempromosikan Kerajaan Perpaduan tetapi ungkapan bayangannya dibincangkan sendiri oleh pimpinan PAS yang sudah muak dengan permainan politiking PKR dan DAP.

Yang patut merungut bahaya risiko terjatuh dalam lubang yang sama sepatutnya UMNO kerana terbukti tiga empat tahun kerjasama antara PAS dan UMNO tahun 1970-an dulu mendedahkan sikap PAS yang tidak setiakawan sebaliknya bila berpeluang akan menikam belakang kawan demi kepentingan politiknya.

Itu serba sedikit mukaddimah perihal keengganan Nik Aziz untuk ‘jatuh’ kali kedua dalam lubang yang sama merujuk pada kerjasama PAS dan UMNO, tanpa disedari Nik Aziz semenjak 1988 hingga kini (2014) PAS sebenarnya sudah tiga kali jatuh dalam lubang yang sama walaupun bukan melibatkan kerjasama dengan UMNO.

Persoalannya parti mana yang menyebabkan PAS jatuh dan terus jatuh tersungkur dalam lubang yang sama sehingga tiga kali menggelupur kesakitan dihina, dibuli dan diperlekehkan? Imbasan sejarah akan mendedahkan kebenarannya kerana sejarah adalah guru yang tidak pernah berbohong.

Sumber Dari: MyKMU.Net

One thought on “Tiga Kali Jatuh Lubang Sama, Nik Aziz Sudah Lupakah?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s