Harimau Malaya Membunuh Garuda… Tahniah Malaysia…

Malam tadi tak salah utk kita anggap sbg hari keramat berikutan kejayaan pasukan bolasepak negara menundukkan pasukan bolasepak Indonesia di bumi mereka sendiri.

Bukan sedikit jerit pekik yg kedengaran di hampir setiap rumah dan kedai makan di seluruh negara meraikan kejayaan pemain negara tersebut.

90 minit yg mendebarkan & 30 minit masa tambahan yg agak merunsingkan, mujurlah masih ada kudrat & semangat perjuangan yg kental dikalangan pemain-pemain kita membolehkan banyak serangan Indonesia dapat di tangkis.

Secara jujurnya kita kena akui jugak sedikit sebanyak ada satu dua kelemahan terutama dlm usaha melakukan penyudah yg sempurna ke arah jaring lawan, tapi standard la tu tak semua perancangan & serangan mampu mencapai gawang gol bila berada atas padang.

Kot manapun, tahniah utk pasukan negara. Tahniah jugak utk Apek sbb berjaya mengagalkan tendangan penalti Ferdinan.

Menangis tak berlagu la puak-puak penyokong Indon selama seminggu ni. ha..ha.. Puas hati beb menang di depan penyokong depa yg terkenal dgn akal sejemput emosi penuh satu belanga tu.

Syabas Malaysia!

Pemain-Pemain Malaysia meraikan kejayaan memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA XXVI selepas menewaskan Indonesia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam tadi. – Bernama

JAKARTA – Tiada apa yang lebih sempurna daripada merangkul pingat emas Sukan SEA; ‘ibu’ kepada segala pingat sebagai penutup tirai temasya kali ke XXVI buat kontinjen Malaysia.

Setelah berjuang habis-habisan di Stadium Gelora Bung Karno untuk lebih dua jam, skuad Harimau Muda kebanggaan kita memakbulkan harapan setiap rakyat Malaysia yang menyaksikan kelibat mereka di kaca televisyen malam tadi.

Tidak mengapa kita ketinggalan pada awal permainan.

Wira-wira kita tidak mengalah, sebaliknya mereka bangkit dengan segera untuk menyamakan kedudukan dan seterusnya mengawal permainan, sekali gus membuatkan kira-kira 100,000 penyokong fanatik tuan rumah terdiam.

Bermula dari saat itu, perlawanan berlangsung agak seimbang menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencari gol pada waktu sebenar permainan, malah 30 minit tambahan pun tidak berkesudahan.

Setiap kali penjaga gol sensasi kita, Khairul Fahmi Che Mat diperlukan, dia tidak pernah mengecewakan dan semalam dia membuktikan keupayaannya sekali lagi, komitmen yang sering kali ditunjukkannya apabila dengan tenang menyelamatkan sepakan penalti Ferdinan Sinaga.

Dan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar; salah seorang anggota skuad yang menjuarai temasya Vientianne dua tahun lalu melaksanakan tugasnya untuk mempertahankan pingat emas buat kali pertama sejak 1979 yang mana ketika itu turut dilakar di Jakarta.

Tangisan para penyokong Laskar Garuda adalah difahami. Bukan saja tewas di bumi sendiri, malah sudah dua dekad tidak mengecapi kejayaan sejak mereka menang di Manila 1991.

Indonesia mungkin telah meraih 170 pingat emas (setakat pukul 12 tengah malam semalam dan jumlah itu dijangka terus bertambah pada hari terakhir hari ini), namun terlepas pingat emas bola sepak sudah tentu sesuatu yang mendukacitakan.

Andai mampu merangkul 200 emas sekali pun, luka mereka tidak akan terubat

Bagi kontinjen negara pula, sasaran baru 60 pingat emas yang diletakkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dua hari lalu sepatutnya dalam jangkauan jika petinju kita, Muhamad Farkhan Mohd. Harun mampu meraih pingat emas ke-59 kita.

Malangnya, dia ditumbangkan secara kontroversi oleh peninju tuan rumah, Alex Tatontos di Palembang.

Terdahulu Malaysia, dipimpin Fatehah Mustapa, membuktikan kejaguhannya dalam arena berbasikal trek yang tiada tolok bandingnya dengan menambah empat pingat emas di Velodrom Ramawangun. Begitu juga dengan gadis- gadis kolam renang kita yang menyapu bersih kesemua lima emas dipertandingkan dalam sukan renang berirama di Pusat Akuatik Kompleks Jakabaring.

Kontinjen negara dijangka tidak akan menambah pungutan pingat emas untuk menggenapkan angka 60 kerana hanya tinggal sukan paragliding yang bukan merupakan sukan harapan pada hari terakhir temasya .

Ia sudah lebih daripada memadai, syabas diucapkan!

Sumber: Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s